السلام عليكم
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
إن
الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره, ونعوذ باالله من شرور انفسنا, ومن
سيئات اعمالنا, من يهده الله فلا مضل له, ومن يضلل فلا هادي له. ونشهد أن
لا إله الا الله وحده لاشريك له ونشهد أن محمدا
Alhamdulillah,
atas kurnia Allah s.w.t saya dapat membaca kitab terjemahan Ta'liq
Siyasah Syar'iah yang dikarang oleh seorang tokoh ulama' yang disegani
iaitu Syeikh Muhammad bin Soleh Utsaimin. Pada asalnya kitab Siyasah
Syar'iah ini ialah kitab yang dinukil daripada pemikiran tokoh terkemuka
di dunia Islam, Syaikhul Islam Ibn Taimiyah lalu dita'liq oleh Syeikh
Muhammad bin Soleh Utsaimin. Kitab ini yang pada asasnya membicarakan
bab politik dan pemerintahan yang digunakan daripada kaedah Rasulullah
s.a.w itu sendiri.
Daripada
kitab terjemahan ini,saya akan memberi beberapa pandangan peribadi yang
saya yang fakir ini atas sedikit ilmu yang saya ada. Matan-matan arab
yang tidak dapat disertakan di sini amat dikesali dan sebarang teguran
boleh diutarakan.
Segala
isi di dalam penulisan ini (seperti hadis) adalah bersumberkan kitab
ini dan sebarang sumber lain akan dinyatakan di mana rujukannya.
*Hakcipta oleh penerbit kitab ini ialah:
(Edisi Indonesia)
GRIYA ILMUJl. Raya Bogor # H. Rafi'i No. 24A Rambutan - Jakarta Timur 13830
Definisi
as-Siyasah asy-Syar'iah dalam pengertian khusus adalah "Segala hal yang
bersumber dari pemegang kebijakan (penguasa), seperti hukum dan
peraturan-peraturan yang bergantung pada adanya kemaslahatan dan dalam
permasalahan yang tidak memiliki dalil khusus lagi spesifik tanpa
menyalahi syari'at. (ms 14)
Seperti
yang kita sedia maklum, pensyariatan terhadap ketaatan kepada pemimpin
itu sudah diwajibkan ke atas umat Islam berdasarkan ayat al-Qur'an di
dalam surah an-Nisa' ayat 59 yang biasa kita dengar dikhutbah Jumaat
masjid-masjid selatan tanah air kita.
يَٰٓأَيُّهَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ
وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ
إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ
وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌۭ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Hai
orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan
ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang
sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur`an) dan Rasul
(sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari
kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik
akibatnya.
[an-Nisa' ayat 59]
Ayat
ini menyuruh kita mentaati pemimpin dalam kalangan kita sendiri,
bermaksud bahawa pemimpin itu kita pilih sendiri daripada kalangan kita.
Bukan dari pihak luar ataupun mereka yang mengaku mendapat kuasa
pemerintahan daripada Tuhan sepertimana teori "divine right"
yang dipraktikkan oleh tamadun Barat sewaktu zaman gelap mereka. Sesiapa
sahaja tidak boleh mempersoalkan apa sahaja tindakan pemerintah mereka
walaupun kejam sekalipun dan mendapat sokongan daripada pemutar belit
agama iaitu golongan agamawan mereka yang menggunakan nama "gereja" dan
"agama".
Berlainan
dengan Islam, pemimpin itu dipilih oleh Allah pada asalnya seorang
Rasul iaitu Muhammad s.a.w. Rasul ini bukanlah daripada makhluk yang
lain, tetapi seorang manusia juga, dan hamba kepada Allah juga. Walaupun
Rasulullah s.a.w itu dilantik oleh Allah, namun tidaklah baginda
sewenang-wenangnya membuat keputusan secara sesuka hatinya. Bahkan
baginda juga meminta pendapat dan cadangan para sahabat daripada proses
musyawarah dalam sesuatu isu untuk membuat keputusan.
Di
dalam ayat ke 58 surah yang sama di atas, Allah memerintahkan pemimpin
itu supaya menjalankan amanat dengan baik dan bersikap adil terhadap
rakyatnya.
إِنَّ
ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا
وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُوا۟ بِٱلْعَدْلِ ۚ إِنَّ
ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعًۢا
بَصِيرًۭا
Sesungguhnya
Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya,
dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya
kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang
sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi
Maha Melihat.
[an-Nisa' ayat 58]
Ini
menunjukkan sebelum kita diperintahkan oleh Allah supaya taat setia
kepada pemerintah kita, mereka terlebih dahulu diberi arahan supaya
menjalankan amanah dan bersikap adil terhadap sesiapa yang mereka
perintah.
Seorang
pemerintah tidak boleh ditaati sekiranya keputusan yang mereka lakukan
itu bertentangan dengan syariat Islam itu sendiri berlandaskan hadis
daripada riwayat Ibn Umar:
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ
“Mendengar
dan taat adalah haq (kewajipan) selama tidak diperintah berbuat
maksiat. Apabila diperintah berbuat maksiat maka tidak ada (kewajipan)
untuk mendengar dan taat.”
[Riwayat Bukhari]
Sebagai
pemimpin kaum Muslimin,mereka perlu memilih orang yang paling layak
untuk memangku jawatan khas di bawah pemerintahannya. Jawatan yang khas
ini contohnya dalam konteks tempat dan zaman sekarang ialah seperti
kabinet dan ketua hakim negara atau ketua polis negara. Pemimpinlah yang
bertanggungjawab untuk memilih yang terbaik dalam kalangan kelompok
walaupun tidak sehaluan pemikiran atau agenda politik.
Ini berdasarkan hadis:
"Barangsiapa
yang menugaskan seseorang kepada suatu kelompok sementara dia menemukan
dalam kelompok tersebut seorang yang lebih baik dari orang itu, maka
sungguh dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang
beriman"
[Riwayat al-Hakim di dalam Sahihnya]
Pemimpin
itu perlulah memilih mereka yang layak sahaja untuk memangku sesebuah
jawatan, jangan hanya memilih mereka yang mempunyai persamaan pemikiran
kerana itu akan mengakibatkan wujud pengeksploitasian kuasa. Tiada "check and balance"
antara satu sama lain lalu yang menjadi mangsa ialah rakyat apabila
masing-masing membela ahli mereka sendiri daripada sebarang kesalahan.
Mungkin
ada diantara kita yang mengatakan bahawa "kami memang tak kenal si
fulan,tapi kami pilih dia berdasarkan sijil yang dia ada". Benar
kata-kata ini, tetapi jika kita dapati mereka tidak mampu untuk
menjalankan tugas dengan amanah, cekap lagi bersih perlulah untuk kita
memberhentikan perkhidmatan mereka atau memberi jawatan lain yang sesuai
dengan mereka. Bahkan dalam konteks zaman sekarang setiap pekerjaan itu
ada satu jabatan khas yang ditugaskan untuk menilai prestasi kita. Hal
ini dapat kita pelajari di dalam ilmu "pengurusan sumber manusia".
Seperti contoh badan yang bebas daripada kuasa kerajaan ialah Jabatan
Audit Negara yang baru-baru ini telah membongkar segala penyalahgunaan
kuasa golongan pentadbir awam di Malaysia.
Bahkan
Umar al-Khattab, seorang khalifah bagi tamadun Islam yang agung pada
masa itu tidak memilih keluarga beliau untuk memangku jawatan di bawah
pentadbiran beliau. Anaknya, Abdullah bin Umar itu hanya mendapat
jawatan sebagai pengawas biasa sahaja. Itulah contoh yang terbaik dapat
kita lihat di zaman khalifah Umar al-Khattab.
Seorang
pemimpin juga ialah mereka yang dipilih oleh orang dalam kalangan
rakyat itu sendiri tanpa meminta jawatan itu sendiri sama ada secara
langsung atau tidak langsung. Inilah sunnah yang sebenarnya berdasarkan
hadis:
"Sesungguhnya Kami tidak melimpahkan urusan kami ini kepada orang yang memintanya"
[Riwayat Bukhari dalam kitab al-Ahkam dan Muslim dalam kitab al-Imarat]